UpDaTeR

Pengikut

Pages

Jumaat, 17 Disember 2010

4 STAF PENJARA MAUT

Bas dinaiki 25 anggota penjara dan keluarga jatuh ke dalam gaung di Kilometer 32, Jalan Tambunan-Penampang di Kampung Ulu Moyog, Penampang, semalam. - utusan/ Hamden Ramli


PENAMPANG 16 Dis. - Empat kakitangan Penjara Tawau terbunuh selepas bas dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung di Kilometer 32 Jalan Kota Kinabalu-Tambunan dekat Kampung Ulu Moyog, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, seramai 18 lagi anggota Penjara Tawau dan tiga ahli keluarga mereka, masing-masing dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan cedera dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu.

Mangsa yang terbunuh ialah Madinah Alhamdulillah, 37, Selamat Idrus, 31, Muslimin Muhamad, 36, dan Sabirin Murad, 28.

Difahamkan bas yang membawa pasukan bola sepak Penjara Tawau itu sedang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu selepas menyertai pertandingan bola sepak Piala Pengarah Penjara Sabah, bermula 13 Disember lalu.

Bagaimanapun, ketika menuruni bukit dan selekoh tajam tidak jauh dari Kampung Ulu Moyog dekat sini, bas itu hilang kawalan sebelum terhumban dan berpusing beberapa kali ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter tersebut.

Kemalangan itu turut menyebabkan bumbung bas berkenaan tercabut.

Tiga jentera pasukan Bomba dan Penyelamat bersama 36 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa. Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 11.13 pagi.

Gerakan menyelamat yang turut dibantu pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mengambil masa tiga jam untuk mengeluarkan semua mayat.

Mayat terakhir berjaya dikeluarkan pada pukul 2.10 petang.

Ketua Polis Trafik negeri, Supritendan Bonjeen Ah Ron ketika dihubungi hari ini berkata, semua mangsa yang terbunuh meninggal dunia di tempat kejadian.

"Polis masih menjalankan siasatan bagi mencari punca sebenar kejadian itu," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa yang terselamat, Mohd. Hafidz Ramli, 14, memberitahu, dia hanya menyedari dalam keadaan bahaya apabila bas itu melanggar tebing jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.

"Selepas berpusing beberapa kali, saya pengsan dan hanya sedar apabila pasukan penyelamat datang untuk membawa saya naik ke atas," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Noraihan Muslimin memberitahu, ketika kejadian, dia duduk di sebelah bapanya, Muslimin.

"Kejadian berlaku begitu pantas dan apabila sedar, saya telah berada di bahagian enjin bas," katanya.

Sementara itu, kakitangan Penjara Sandakan, Koperal Azranshah Abdullah berkata, sebanyak tiga bas membawa tiga pasukan bola sepak masing-masing dari Penjara Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan berlepas dari Keningau, pukul 8 pagi.

"Bas membawa kakitangan Penjara Tawau itu merupakan yang kedua bertolak dari Keningau. Ketika dalam perjalanan, kami mendapat panggilan telefon memaklumkan kejadian malang itu.

"Semasa kami sampai, pasukan penyelamat telah mula mengeluarkan mangsa dari dalam bas tersebut," katanya.


* Kemalangan yang aku ceritakan pagi tadi.........:(

1 ulasan:

- zuriey - berkata...

semoga keluarga mangsa sabar hadapi dugaan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

i SeRvE nUfFnAnG aDs