UpDaTeR

Pengikut

Pages

Sabtu, 6 November 2010

AKSI PEMBUKAAN JADI PENENTU

SEPANG – Seramai 48 pemain serta pegawai skuad bola sepak dan pelayar negara, menjadi kontinjen pertama Malaysia berlepas ke Guangzhou, China semalam, bagi menggalas misi dan cabaran negara pada temasya Sukan Asia pada 12 hingga 27 November ini.

Antaranya termasuk ketua jurulatih skuad bola sepak negara K.Rajagobal, pemain K.Gurusamy dan S.Chanturu yang terpaksa mengorbankan sambutan Deepavali, demi melaksanakan amanah negara.

Mereka berpendapat walaupun terpaksa meraikan Deepavali di perantauan, ia bukan penghalang melakukan yang terbaik pada kejohanan sukan itu.

Bagi Gurusamy dan Chanturu, ini bukanlah kali pertama mereka menyambut Deepavali di luar negara, kerana pernah berbuat demikian semasa mengikuti skuad Harimau Muda berlatih di Slovakia, tahun lepas.

Mengenai peluang skuad kebangsaan di Guangzhou nanti, Rajagobal berkata, walaupun dibarisi pemain muda, beliau tetap percaya dan menaruh harapan tinggi kepada mereka untuk memberikan saingan yang menarik.

“Berdasarkan kepada prestasi semasa pemain, saya yakin mereka sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Sukan Asia kali ini. Jika ada kekurangan, kita akan cuba memperbaikinya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Pada saingan awal bola sepak Sukan Asia, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan memulakan kempen Isnin ini, menentang Kyrgyzstan diikuti Jepun (10 Nov.) dan tuan rumah China (13 Nov.).

Sementara itu, ketua pasukan bola sepak negara, Norhafiz Zamani Misbah berkata, beliau serta rakan sepasukannya bersedia menggalas cabaran tersebut dan akan memberikan fokus terbaik dalam perlawanan pertama menentang Kyrgystan.

“Kita akan tumpukan kepada latihan taktikal jurulatih dan mengikuti segala arahan.

‘‘Jika mampu menang pada perlawanan Isnin depan, ini bermakna satu permulaan dan keyakinan buat kami, sebelum memikirkan corak perlawanan seterusnya,” katanya.

Penjaga gol utama kebangsaan pada temasya kali ini, Khairul Fahmi Che Mat berkata, walaupun beberapa pemain senior tidak tersenarai kerana cedera, mereka tetap yakin mampu menampilkan yang terbaik.

“Perlawanan menentang Kyrgystan pada Isnin depan sangat penting. Saya akan mencuba untuk tidak memberi ruang kepada pasukan lawan membolosi gawang.

“Kalau boleh, skuad negara ingin mendapatkan tiga mata penuh dari perlawanan nanti, untuk membangkitkan semangat menentang Jepun dan tuan rumah China,” katanya.

Antara nama yang digugurkan oleh Rajagobal dalam barisan skuad ke Guangzhou ialah ketua pasukan, Mohd Aidil Zafuan dan kembarnya, Zaquan Adha Abdul Razak serta dua tonggak pertahanan, Mohd Sabre Mat Abu dan Azmi Muslim.

Selain itu, penjaga gol utama Mohd Sharbinee Allawee, pemain tengah Bunyamin Omar dan Gary Steven Robbat serta penyerang Baddrol Bakhtiar, Mohamad Ashaari Samsudin, Mohd Safee Mohd Sali, Mohd Nasriq Baharom dan Mohd Amirulhadi Zainal juga terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi pada temasya sukan empat tahun sekali itu. – Bernama

*Utusan

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

i SeRvE nUfFnAnG aDs